Kota Bharu ~~ KEY BEE

Kota Bharu (KB) ialah ibu negeri Kelantan. Bandar ini mula dibuka pada masa pemerintahan Sultan Muhammad II pada tahun 1844. Bandar ini terletak tidak jauh dari muara Sungai Kelantan. Kota Bharu menjadi pusat pentadbiran dan perniagaan negeri Kelantan. Jumlah penduduk pada 2005 ialah sekitar 425,294 orang dan merupakan Bandaraya terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kota Bharu tidak mempunyai rangkaian lebuh raya tetapi boleh dihubungi melalui lebuh raya terdekat LPT dan susur keluar di Kemaman dan meneruskan melalui Jalan Persekutuan 3 menuju ke Kota Bharu. Kota Bharu juga tidak mempunyai rangkaian kereta api tetapi boleh menggunakan stesen kereta api terdekat di Wakaf Bharu 5 kilometer ke utara Kota Bharu.

Kota Bharu juga merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan yang terdiri daripada Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang.

Keistimewaan dan tempat menarik di Kota Bharu.

* Masjid Sultan Ismail.
* Pasar Besar Kota Bharu (Kaum wanita banyak berniaga di sini).
* Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
* Gelanggang Seni (Tempat kegiatan kesenian dan kebudayaan).
* Perusahaan batik (Perusahaan yang terkenal di Kelantan).

Kota Bharu diisytiharkan sebagai Bandar raya Islam pada hari Sabtu 1 Oktober 2005 jam 10 malam oleh Sultan Kelantan, DYMM Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra di Stadium Sultan Mohammed Ke IV. Perasmian diiringi pertunjukan bunga api sebagai gimik perasmian dan persembahan sajak, dikir barat, nasyid dan nyanyian oleh jemputan khas iaitu Mawi, M. Nasir, Halim Yazid, Kumpulan Rabbani dan Akhil Hayy. Perasmian turut disaksikan oleh ribuan hadirin sehingga terpaksa menonton di layar yang dipasang di beberapa tempat disekitar Kota Bharu.

Selepas perasmian tersebut, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ditukar nama baru iaitu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Akan tetapi pengisytiharan ini bukan bermakna bandar Kota Bharu telah mendapat status bandaraya sepeti yang lain, tetapi sekadar menggelarkan Kota Bharu sebagai bandar yang bercirikan Islam sebagaimana Melaka digelar Bandaraya Bersejarah atas dasar bercirikan sejarah.

Comments

Popular Posts