Kelantan

Kelantan Darul Naim (Jawi: كلنتن دار النعيم, Loghat Kelantan: Klatè) atau nama pendeknya Kelantan merupakan sebuah negeri daripada 14 buah negeri di Malaysia yang kaya dengan sumber asli. Mempunyai keluasan lebih kurang 14,922 km², terletak di timur laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan, dan bersempadan dengan Thailand (lihat peta). Kelantan ialah sebuah negeri agraria (pertanian) yang mempunyai banyak kawasan tanaman padi dan perkampungan nelayan.

Berdasarkan pada Bancian Tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar dengan 95%, diikuti dengan kaum Cina 3.8%, kaum India 0.3% dan lain-lain kaum 0.9%. Berdasarkan bancian tersebut, 95% beragama Islam, diikuti dengan agama Buddha 4.4%, Kristian 0.2%, Hindu 0.2% dan lain-lain agama 0.2%.

Kelantan Darul Naim terdiri daripada 10 jajahan iaitu :-

* Kota Bharu (كوتا بارو)
* Pasir Mas (ڤاسير مس)
* Tumpat (تومڤ)
* Pasir Puteh (ڤاسير ڤوتيه)
* Bachok (باچوق)
* Kuala Krai (كوالا كراي)
* Machang (ماچڠ)
* Tanah Merah (تانه ميره)
* Jeli (جيلي)
* Gua Musang (ڬوا موسڠ)

Bandar-bandar utama di negeri Kelantan termasuklah Kota Bharu (ibu negeri), Pasir Puteh, Pasir Mas,Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli, Rantau Panjang dan Pangkalan Chepa.

Sultan Negeri Kelantan merupakan Ketua Perlembagaan Negeri. Di bawah perlembagaan negeri, kuasa perundangan dipunyai oleh Dewan Undangan Negeri. Dewan ini melantikkan ahli Dewan untuk membentukkan Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO).

EXCO, yang diketuai oleh Menteri Besar, memegang kuasa eksekutif dan merupakan badan yang membuat dasar kerajaan negeri. Menteri Besar yang dilantik oleh Sultan adalah daripada parti politik yang memenangi kerusi yang terbanyak di dalam Dewan Undangan. Menteri Besar Kelantan sekarang ialah Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga merupakan Mursyidul Am kepada parti yang memerintah negeri Kelantan, Parti Islam Se-Malaysia(PAS).

Comments

Popular Posts