Burj Khalifa

Dahulunya dikenali sebagai Burj Dubai, ialah sebuah pencakar langit teramat tinggi yang didirikan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, dan juga struktur binaan manusia tertinggi yang pernah dibina dalam sejarah, pada 828 m (2,717 ka). Pembinaan bermula pada 21 September 2004, sehingga struktur luarannya disiapkan pada 1 Oktober 2009 dan dibuka secara rasmi pada 4 Januari 2010. Bangunan ini merupakan sebahagian porjek pembangunan besar-besaran seluas 2 km2 (490-ekar) yang dikenali sebagai Downtown Burj Khalifa di "Persilangan Pertama" di sepanjang Jalan Sheikh Zayed, berhampiran kawasan perniagaan utama Dubai. Skidmore, Owings dan Merrill, LLP (Chicago) merupakan jurubina dan jurutera menara ini. Bill Baker, Ketua Jurutera Struktur projek ini, mencipta sistem struktur teras bersagang untuk membolehkan menara ini mencapai ketinggian luar biasa sambil berjimat cermat. Adrian Smith yang bekerja bersama Skidmore, Owings dan Merrill (SOM) sehingga tahun 2006, bertugas selaku Rakan Rekabentuk dalam projek ini.

Pembina utamanya merupakan usahasama antara syarikat Samsung C&T dari Korea Selatan yang pernah membina Taipei 101 dan Menara Berkembar Petronas, kumpulan Besix dari Belgium dan Arabtec dari EAB. Turner Construction Company dilantik sebagai pengurus projek pembina. Mengikut undang-undang EAB, pihak Kontraktor dan Jurutera Rekod bertanggungjawab bersama dan berasingan atas prestasi Burj Dubai. Oleh itu, dengan menerima reka bentuk SOM serta dilantik sebagai Jurubina dan Jurutera Rekod, Hyder Consulting menjadi Penasihat Rekabentuk untuk menara ini.

Jumlah perbelanjaan projek Burj Khalifa dianggarkan sekitar AS$1.5 bilion; dan untuk seluruh projek "Downtown Dubai" pula, AS$20 bilion. Mohamed Ali Alabbar, Ketua Pegawai Eksekutif Emaar Properties, ketika berucap di Kongres Dunia ke-8 Majlis Bangunan Tinggi dan Penempatan Bandar, mengumumkan bahawa harga ruang pejabat di Burj Khalifa telah mencecah AS$4,000 sekaki persegi (atau lebih AS$43,000 semeter persegi), lebih-lebih lagi Armani Residences yang juga terletak di Burj Khalifa, dijual pada AS$3,500 sekaki persegi (lebih AS$37,500 semeter persegi).

Garis masa

* Januari 2004: Penggalian dimulakan.
* Februari 2004: Kerja memantakkan cerucuk dimulakan.
* 21 September 2004: Kontraktor Emaar (Samsung-Besix-Arabtec JV) dianugerahkan tugas pembinaan.
* Mac 2005: Struktur Burj Khalifa mula dinaikkan.
* Jun 2006: 50 tingkat disiapkan.
* Februari 2007: Mengatasi Menara Sears sebagai bangunan yang paling banyak tingkatnya.
* 13 Mei 2007: Mencipta rekod untuk pengepaman konkrit menegak tertinggi di mana-mana binaan pada 452 m (1,483 ka), mengatasi pengepaman konkrit setinggi 449.2 m (1,474 ka) ketika pembinaan Taipei 101, semasa Burj Khalifa mencapai tingkat ke-130.
* 21 Julai 2007: Mengatasi Taipei 101 yang pernah menjadi binaan tertinggi di dunia pada 509.2 m (1,671 ka), sambil disiapkan 141 tingkat.
* 12 Ogos 2007: Mengatasi paras antena Menara Willis yang berada pada ketinggian 527.3 m (1,730 ka).
* 12 September 2007: Menjadi struktur bebas tertinggi di dunia pada ketinggian 555.3 m (1,822 ka), sekaligus mengatasi Menara CN di Toronto, sambil mencapai 150 tingkat.
* 7 April 2008: Mengatasi Menara KVLY-TV sebagai struktur binaan manusia tertinggi pada 629 m (2,064 ka), sambil mencapai 160 tingkat.
* 17 Jun 2008: Emaar mengumumkan bahawa ketinggian Burj Khalifa mencecah 636 m (2,087 ka) dan ukuran ketinggian muktamadnya tidak akan diumumkan sehingga disiapkan pada September 2009.
* 1 September 2008: Ketinggiannya mencapai 688 m (2,257 ka), menjadikannya struktur binaan manusia tertinggi dalam sejarah, sekaligus mengatasi pemegang rekod sebelumnya, iaitu Menara Radio Warsaw di Konstantynów, Poland.
* 17 Januari 2009: Peninggian berhenti pada 818 m (2,684 ka).
* 1 Oktober 2009: Emaar mengumumkan bahawa struktur luaran bangunan telah disiapkan.
* 4 Januari 2010: Majlis perasmian dan pembukaan Burj Khalifa diadakan. Burj Dubai dinamakan Burj Khalifa sempena Presiden EAB dan pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Khalifa bin Zayed al Nahyan.

Rekod semasa

* Pencakar langit tertinggi hingga paras puncaknya: 828 m (2,717 ka) (mengatasi Taipei 101 – 509.2 m (1,671 ka))
* Struktur tertinggi yang pernah dibina: 828 m (2,717 ka) (mengatasi menara radio Warsaw – 646.38 m (2,121 ka))
* Struktur wujud yang tertinggi: 828 m (2,717 ka) (mengatasi menara KVLY-TV – 628.8 m (2,063 ka))
* Struktur bebas tertinggi: 828 m (2,717 ka) (mengatasi Menara CN – 553.3 m (1,815 ka))
* Bangunan yang terbanyak tingkatnya: 160 (mengatasi 1 dan 2 World Trade Center – 110)
* Pemasangan lif tertinggi di dunia[25]
* Lif terlaju di dunia pada kelajuan 64 km/j (40 bsj) atau 18 m/s (59 kaki/s)[25] (mengatasi Taipei 101 – 16.83 m/s)
* Pengepaman konkrit menegak tertinggi (untuk bangunan): 606 m (1,988 ka) (mengatasi Taipei 101 – 449.2 m (1,474 ka))
* Pengepaman konkrit menegak tertinggi (untuk mana-mana usaha pembinaan): 606 m (1,988 ka) (mengatasi Loji Tenaga Hidroelektrik Riva del Garda – 532 m (1,745 ka))
* Struktur tertinggi dunia pertama dalam sejarah yang menyediakan ruang perumahan
* Dek pencerapan luaran tertinggi di dunia
* Masjid tertinggi di dunia (terletak di tingkat 158)
* Lif yang terpanjang perjalanannya di dunia
* Lif perkhidmatan tertinggi di dunia
* Pemasangan muka bangunan aluminium dan kaca tertinggi di dunia pada ketinggian 512 m (1,680 ka)

Comments

Popular Posts